Thursday, May 2, 2013

PRU13: Lawatan PM di Kedah berjaya tingkat sokongan rakyat

ALOR SETAR: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kedah semalam telah meningkatkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, kunjungan tersebut sekaligus turut membantu jentera BN dalam misi mencapai kemenangan dan menawan semula Kedah.


"Saya lihat ramai rakyat yang sambut perdana menteri. Mereka tunjukkan sokongan padu kepada BN termasuk masyarakat Cina, India, Siam serta orang Asli," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata, di Baling misalnya, rakyat berjanji mahu memberi kemenangan 4-0 kepada BN iaitu di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Kuala Ketil dan Kupang serta kerusi Parlimen Baling.

Beliau berterima kasih kepada Najib yang berjanji untuk melaksanakan pelbagi projek di kawasan Parlimen Pokok Sena dan Baling selepas pilihan raya ini seperti hospital pakar dan masjid.

"Saya percaya rakyat Baling amat ternanti-nantikan pengumuman ini dan ia juga dapat memberi manfaat kepada rakyat," kata Ahmad Bashah yang juga calon BN bagi DUN Bakar Bata. - BERNAMA

No comments: