Thursday, May 2, 2013

PRU13 Momentum sokong BN melonjak Di Kedah

Badruddin Amiruldin (dua dari kiri) bersama Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) menunjukkan kemahiran menggoreng kuih ketika melawat sekitar Pasar Tani Taman Wira Mergong, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir 
 
ALOR SETAR 1 Mei - Barisan Nasional (BN) Kedah yakin kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyuntik semangat juang jentera pilihan raya parti yang kini disifatkannya berada pada tahap tertinggi menjelang hari pengundian 5 Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau juga yakin BN memperoleh sokongan penuh dalam kalangan anggota masyarakat sekali gus membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Kita lihat momentum dan semangat jentera parti berkempen dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat amat baik sekali. Semalam kunjungan Perdana Menteri menyuntik semangat parti untuk mencapai kemenangan kepada parti.

"Sebagai contoh, jentera parti di Baling amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan bertambah bersemangat. Mereka berikrar memberi komitmen penuh kerana mahu memastikan kemenangan 4-0 di kerusi yang ditandingi di kawasan tersebut," katanya yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN), Bakar Bata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Taman Wira Mergong, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin. 

Menurut Ahmad Bashah, pelbagai projek pembangunan yang diumumkan Najib dalam lawatan beliau itu semalam membuktikan BN sentiasa prihatin dengan nasib penduduk negeri ini.

"Pengumuman itu disambut baik penduduk seperti pembinaan sebuah hospital pakar dan masjid baharu di Baling. Di situ tidak ada hospital pakar dan sebelum ini penduduk harus mendapatkan rawatan di Sungai Petani atau Alor Setar, jadi pengumuman itu sentiasa dinanti-nantikan.

"Beliau turut mengumumkan sebuah masjid yang lengkap di kawasan itu termasuk sebuah sekolah di Pokok Sena," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat menilai dengan terbaik segala perancangan yang disediakan kerajaan dan membuat pilihan tepat kelak dengan memberi mandat kepada parti demi pembangunan negeri ini.

No comments: