POKOK SENA 30 April - Datuk Seri Najib Tun Razak 
berkata, rakyat perlu memilih pemimpin berakhlak mulia serta mematuhi 
undang-undang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini dan 
bukannya mereka yang mencetuskan huru-hara atau insiden keganasan.
Perdana Menteri berkata, sebab itu soal mendidik khususnya kepada 
anak-anak dan generasi muda agar menghormati undang-undang menjadi 
keutamaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). 
"Kita tegaskan bahawa yang utama itu akhlak mesti baik, kita boleh 
berbeza politik kerana beza pendapat itu perkara biasa tetapi kita tak 
boleh mengajar rakyat untuk menunjukkan akhlak yang buruk," katanya pada
 sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Awana di
 sini hari ini.
Perdana Menteri ditanya mengenai insiden-insiden keganasan yang semakin menjadi-jadi semasa tempoh kempen PRU-13.
Najib berkata, seluruh rakyat perlu menjaga tingkah laku dengan 
menghiasinya dengan akhlak terpuji dan jauh sekali terlibat dalam 
perbuatan mencederakan orang atau merosakkan harta benda.
"Akhlak terpuji itu merupakan tiang seri kepada agama kita, walaupun 
kita boleh melakukan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan 
sebagainya tetapi kalau akhlak kita buruk maka kita boleh dihumban ke 
dalam neraka.
"Jadi kita mesti jaga akhlak kita, jaga lidah, jaga perbuatan jangan 
menimbulkan huru-hara jangan buat sesuatu yang mencederakan orang atau 
merosakkan harta benda," jelasnya. 
Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, laungan 
reformasi pemimpin pembangkang kini ditolak oleh rakyat kerana ia 
dikaitkan dengan demonstrasi jalanan seperti Bersih 1, 2 dan 3 yang 
tidak berakhlak.
"Nampak polis (mereka) serang, terbalikkan kereta, ini bukan akhlak 
baik kerana akhlak baik ialah ikut undang-undang, hormat orang tua, 
hormat saudara seagama, hormat bukan Islam dan bukan maki-hamun, 
mengaibkan orang lain... itu rosakkan nilai masyarakat kita," jelasnya. 
Najib berkata, transformasi BN sentiasa menitikberatkan pengisian 
dalam aspek mendidik seperti dilakukan di sekolah di seluruh negara yang
 bertujuan melahirkan insan berguna.
"Sebuah negara (menjadi) maju bukan sebab adanya jalan, 
bangunan-bangunan pencakar langit tetapi (warganya) mesti ada akhlak 
yang baik. Sebab itu kita nak lakukan transformasi," katanya.
No comments:
Post a Comment