Thursday, April 18, 2013

Pakej lengkap calon baharu UMNO

BARISAN Nasional (BN) telah mengotakan janjinya untuk melakukan transformasi politik apabila menampilkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Muka baharu itu merangkumi 73 calon bagi kerusi Parlimen dan 247 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jumlah itu adalah satu peningkatan berbanding 44 muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 161 calon baharu bagi DUN pada pilihan raya 2008. Sesuatu yang cukup menarik untuk dilihat adalah calon-calon baharu UMNO yang merupakan parti komponen terbesar dalam BN.

Calon-calon yang disenaraikan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk tokoh agama, golongan profesional, ahli akademik, aktivis belia, bekas pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat dan pemimpin muda yang mewakil sayap Pemuda dan Puteri.Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, beliau tertarik melihat calon-calon daripada kalangan ahli agama kerana mereka mewakili golongan berpendidikan agama aliran tradisional dan moden serta daripada pelbagai peringkat usia.

Beliau berkata, langkah itu amat baik bagi membolehkan kerajaan baharu yang bakal dibentuk BN nanti mengambil kira pandangan setiap peringkat ahli agama dalam melaksanakan dasar. "Bagi saya ini adalah satu perubahan besar yang dibuat oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang harus disokong setiap rakyat," katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Antara tokoh agama yang telah dicalonkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen Jerai dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya (DUN Sanglang).

Turut dicalonkan ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff (DUN Pasir Tumboh) dan pendakwah bebas, Ahmad Hasbullah Elias (DUN Kubu Gajah).

Dalam pada itu, Mohd. Roslan menyambut baik langkah menyenaraikan calon-calon UMNO daripada kalangan golongan profesional, ahli akademik, tokoh korporat dan bekas kakitangan kerajaan.
Beliau berkata, langkah itu akan memastikan wakil rakyat BN yang akan bersidang di Dewan Rakyat dan DUN mempunyai pengalaman luas dalam setiap bidang.

Antara golongan profesional itu ialah bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Setiu; Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid (Parlimen Kuala Kedah) dan arkitek, Mohd. Fadzilah Mohd. Ali (DUN Sungai Limau).
Ahli akademik pula ialah bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof. Dr. Ismail Daud (Parlimen Merbok) dan pensyarah kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Shamsul Anuar Ismail (Parlimen Sungai Petani).
Turut tersenarai ialah tokoh korporat Datuk Dr. Tengku Mohd. Rethwan Tengku Mansor (DUN Seri Setia) dan Datuk Johari Abdul Ghani (Parlimen Titiwangsa). 

Termasuk dalam senarai ialah mereka yang pernah menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) seperti bekas Naib Presiden Telekom Malaysia Bhd. (TM), Dr. Mazlan Ismail di Parlimen Permatang Pauh.
Bekas kakitangan kerajaan pula ialah bekas Penolong Ketua Pengarah (Pengaduan) Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Azlan Man di DUN Pauh dan bekas Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (Mardi) Perak, Dr. Zabri Abd. Wahid (DUN Trong).

Turut tersenarai, pesara tentera, Kapten (B) Sharuddin Omar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Parlimen Kuala Langat.Tambah Mohd. Roslan, tidak dilupakan adalah golongan yang mewakili suara orang muda yang merupakan pengundi baharu terbesar.
Mereka Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi di DUN Sungai Panjang; Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (Parlimen Kuala Selangor); Pengerusi Gerakan Belia 4B, Muammar Ghadafi Jamaludin (Parlimen Parit Buntar) dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd. Manap (Parlimen Sekijang).

Beliau berkata, sesuatu yang cukup menarik adalah penampilan individu yang merupakan setiausaha politik dan pegawai khas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan."Mereka ini adalah arkitek yang membantu Najib dalam merancang dan melaksanakan segala gagasan yang telah diperkenalkan kepada rakyat pada peringkat awal Perdana Menteri dilantik."Apabila menjadi calon, mereka tidak lagi bekerja di belakang tabir sebaliknya akan berada di barisan hadapan untuk memastikan gagasan 1Malaysia, pendekatan wasatiyyah dan lain-lain gagasan dapat diperkukuhkan lagi," ujarnya.

 Antara mereka ialah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Parlimen Kota Bharu, Datuk Shahlan Ismail (Parlimen Pokok Sena), Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah (Parlimen Wangsa Maju), Datuk Mohamad Suffian Awang (Parlimen Kuantan) dan Datuk Latt Shariman Abdullah (DUN Kubang Rotan).

Sementara itu, beliau turut menyambut baik langkah UMNO meletakkan calon-calon muda di setiap negeri dan juga calon-calon yang mewakili Pemuda dan Puteri parti itu walaupun kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman luas.

"Ini menunjukkan sudah wujud perancangan rapi untuk menyediakan satu barisan kepimpinan baharu UMNO yang bakal mengambil alih kepimpinan parti dan negara pada masa depan," katanya.
Antara mereka ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Parlimen Kepala Batas; Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian (Parlimen Kubang Kerian); Ketua Puteri UMNO Perlis, Asmaiza Ahmad (DUN Chuping) dan Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed (DUN Temenggor).

Tidak dilupakan adalah muka baharu daripada kalangan Wanita UMNO termasuk Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar di Hulu Bernam; Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Normala Abdul Samad (Parlimen Pasir Gudang) dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang, Halimaton Saadiah Borhan (DUN Kota Damansara).

No comments: