Saturday, April 13, 2013

Sukarelawan Pejabat PM berkampung di Pokok Sena sejak semalam


ALOR SETAR: Kira-kira 30 sukarelawan dari Pejabat Perdana Menteri berkampung di kawasan Parlimen Pokok Sena, dekat sini, selama dua hari sejak semalam bagi memberi khidmat kepada masyarakat.
Program Jalinan Rakyat Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri Bersama Masyarakat itu turut disertai kira-kira 40 Sukarelawan Jabatan Belia Negeri Kedah serta beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).


Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, program yang sudah lama dijalankan itu, diketuai Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohd Po'ad Jelani, yang antara lain membuat kerja sukarela terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, pasukan ini sudah ke merata tempat termasuk di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain di Sabah.

"Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Antaranya, mereka akan mengadakan gotong royong bersama masyarakat dan memberikan sumbangan. Memang ini adalah budaya kami (Pejabat Perdana Menteri).

"Budaya ini telah disemai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas prinsip Sukarelawan 1Malaysia. Perdana Menteri mahu kami fahami masalah rakyat dan selesaikan masalah rakyat," katanya selepas majlis gotong royong dan Jalinan Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bukit, Pokok Sena dekat sini hari ini.

Beliau berkata, untuk program kali ini, sukarelawan yang terlibat melihat sendiri keunikan kawasan Pokok Sena yang sebahagiannya terletak dalam bandar raya Alor Setar, di kawasan pinggir bandar dan kawasan pedalaman.
"Masalah yang dihadapi adalah masalah pendidikan di kawasan pedalaman sedangkan Pokok Sena mempunyai banyak sekolah yang baik dalam kawasan bandar raya.

Kerajaan akan berusaha meningkatkan taraf pendidikan ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Po'ad berkata, sukarelawan yang dikenali sebagai Pasukan Kesukarelawanan 1Malaysia Pejabat Perdana Menteri itu telah empat tahun ditubuhkan.

"Kami bergerak ke seluruh negara untuk mendengar denyut nadi rakyat seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Bantu mana-mana yang perlu. Walaupun kami krew Pejabat Perdana Menteri sibuk dengan kerja pejabat, kami tak lupa semangat kesukarelawan.

"Kami keluar dari pejabat untuk memahami perasaan rakyat. Kami buat program pada hujung minggu. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu Perdana Menteri, yang komited memastikan nasib rakyat terbela," katanya sambil menambah pasukan sukarelawan itu memilih Pahang untuk lokasi program selepas ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Rozilan Salleh. - BERNAMA

No comments: