Wednesday, April 17, 2013

Semua calon BN tidak gentar hadapi orang kuat Pas

ALOR SETAR 16 April - Calon-calon Barisan Nasional (BN) negeri ini tidak gentar meskipun diletakkan bertanding dengan 'orang kuat' Pas di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah, mereka yakin akan memberi saingan hebat kepada calon pembangkang demi mengembalikan semula Kedah kepada BN.

Calon Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul berkata, beliau bersama jentera BN akan bertempur habis-habisan untuk berhadapan calon Pas, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) memberitahu, hubungan rapatnya dengan komuniti setempat menjadi kekuatan dan kelebihan menawan kubu kuat Pas tersebut.

"Saya tidak ada masalah bersemuka dengan Mat Sabu kerana saya anak tempatan dan tidak pernah meninggalkan kawasan ini sejak 1986. Saya percaya akan ada satu perkembangan yang mengejutkan di Pendang termasuk di Tokai yang dianggap kubu kuat Pas," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Kedah oleh Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di sini hari ini.
Sementara itu, calon BN di kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail, 55, berkata, walaupun antara muka baharu beliau bersedia bertarung dengan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan penyandang kerusi tersebut.

Shahlan yang berpengalaman selama 19 tahun dalam arena politik tanah air berkata, beliau akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membangunkan serta melonjakkan ekonomi Pokok Sena.

"Saya tidak fikir Pokok Sena kubu kuat Pas tetapi mungkin rakyat ketika itu keliru, jadi saya cuba menghuraikan kekeliruan tersebut dengan membawa pendekatan seruan kedamaian untuk semua.

"Saya yakin kerusi Parlimen Pokok Sena akan berjaya dirampas BN dan berdoa pengundi dapat menilai dengan jelas calon-calon yang telah dipilih BN bagi mewakili parti ini," katanya.

Calon BN di DUN Sungai Limau, Ir. Fadzilah Mohd. Ali, 55, yang dijangka menentang sepupunya yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berharap pengundi memberi peluang kepadanya menjadi wakil rakyat di kerusi berkenaan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai itu berkata, beliau menghormati sepupunya itu tetapi Azizan gagal membawa perubahan dan pembangunan ketara sepanjang menjadi wakil rakyat di Sungai Limau sejak 1995 termasuk semasa menjadi Menteri Besar Kedah.

No comments: