Tuesday, April 30, 2013

PRU13 DATO' SHAHLAN ISMAIL DITERIMA BAIK PENYOKONG TEGAR PAS

Shahlan Ismail (kiri) bersalaman dengan waris pelajar pada Majlis Pertemuan Bersama Ibu Bapa di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah, semalam. 
 
POKOK SENA 27 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail berjaya berkempen sehingga menembusi kubu Pas di kawasan itu menerusi pendekatan berhemah.

Shahlan yang merupakan anak jati Kampung Sungai Durian di sini berkata, sehingga hari ini ramai pengundi, terutama penyokong Pas keliru sama ada beliau calon BN atau calon Pas.
"Ramai yang keliru saya calon parti mana. Sikap dan pendekatan yang saya bawa iaitu menawarkan kedamaian dalam politik pasti tak ada satu manusia yang waras akan menolak saya.

"Kawan-kawan saya yang dahulu menyokong Pas ramai sudah kembali kepada BN dengan pendekatan yang saya bawa ini.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini kempen saya tidak mempunyai masalah dan saya berjaya menembusi kubu-kubu Pas di Parlimen Pokok Sena," katanya selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Ibu Bapa di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini hari ini.

Shahlan merupakan calon muka baharu yang diketengahkan oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menentang Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bagi merebut kerusi Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Shahlan juga yakin pengundi Cina di kawasan Pokok Sena menyokong calon-calon BN kerana mereka yakin dengan parti itu yang mampu membawa masa depan yang baik untuk mereka.

Katanya, ramai pengundi Cina berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Dr. Cheah Soon Hai yang merupakan calon BN di situ juga diterima baik oleh masyarakat Cina.

"Bagi saya untuk tarik pengundi Cina ia tak jadi masalah kerana Soon Hai diterima baik di kawasan Derga dan kita ada banyak bantuan daripada jentera MCA serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di situ.

"Banyak program yang melibatkan masyarakat Cina saya turun, saya jumpa mereka dan kelebihan saya ialah mereka kenal arwah ayah saya, Ismail Harun.

"Apabila saya sebut saya anak Mail Misai, semua orang kenal ayah saya dahulu pemandu bas. Saya anak orang susah, jadi itu satu kelebihan saya," jelasnya.

No comments: