Saturday, April 20, 2013

Datuk Mahfuz Omar gagal membatalkan saman fitnah yang dikemukaka Datuk Dr. Hasan Ali

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar gagal dalam percubaannya untuk membatalkan saman fitnah yang dikemukakan oleh Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali terhadap beliau, berikutan permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hasan menyaman Mahfuz berhubung kenyataannya yang mendakwa segala aktiviti dan jelajah ceramah Jati mendapat dana daripada tajaan syarikat-syarikat tertentu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM30 juta.

Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Hasan memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menolak permohonan Mahfuz setelah mendapati anak guamnya yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu mempunyai kausa tindakan terhadap Mahfuz.


Menurut Hasnal, Mahfuz sebelum ini memohon untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Hasan atas alasan plaintif tersebut tiada kuasa tindakan untuk mengemukakan saman terhadapnya.

Ini kerana Mahfuz mendakwa, kata-kata dalam sidang akhbar tersebut bukanlah libel (fitnah bertulis) sekiranya Hasan tidak menyaman pihak media yang menerbitkan pernyataan tersebut, kata Hasnal.

Justeru itu menurut Hasnal, Mahfuz yang diwakili peguam Saufi Putra berpendapat, Hasan tidak boleh menyamannya atas libel tersebut.
Selepas menolak permohonan Mahfuz, Hakim Nor Bee menetapkan perbicaraan kes saman itu didengar selama tiga hari bermula 28 Oktober depan.
Dalam saman yang difailkan pada 12 April tahun lalu, Hasan mendakwa, Mahfuz yang dinamakan sebagai defendan pada 2 Mac 2012 telah memanggil sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini.

Dalam sidang akhbar tersebut, wartawan dan jurugambar portal berita dalam talian, KL Pos News Portal telah merakamkan audio visual sidang akhbar itu.
KL Pos News Portal kemudiannya menurut plaintif, telah menyunting dan memuat naik edisi rakaman tersebut ke laman web mereka dan juga di laman Youtube di Internet.



Ekoran daripada sidang akhbar tersebut, plaintif menyatakan, akhbar Sinar Harian telah menyiarkan artikel bertajuk 'Pas dakwa KBS taja 2,000 ceramah Hasan Ali' pada 2 Mac 2012.
 
The Malaysian Insider pula pada hari yang sama telah menerbitkan artikel 'Pas dakwa KBS taja ceramah Hasan Ali untuk belia'.

Pengendali portal berita propembangkang Malaysiakini.com pula menyiarkan artikel, 'Mahfuz wants probe into ministry project for Hasan Ali' (Mahfuz desak siasatan ke atas projek kementerian untuk Hasan Ali).

Pernyataan itu bagi plaintif, dalam maksud semula jadi dan lazim antaranya membawa maksud, beliau merelakan dirinya dipergunakan sebagai perkakas dan alat untuk mencapai agenda politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).
 
Selain itu, menurut Hasan, perkataan tersebut membawa maksud beliau merelakan program-program yang dijalankannya dibiayai oleh dana yang didakwa diselewengkan sehingga menjejaskan reputasi, imej dan nama baik beliau.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang tidak dinyatakan jumlahnya serta perintah injunksi.

No comments: