KUALA LUMPUR 13 April - Setelah berjaya berinteraksi dengan lebih 150,000 anak muda di 11 lokasi sekitar Selangor, Showcase Anak Muda (SAM) akan meneruskan jelajah kali ini ke Pokok Sena, Kedah pada Ahad dan Isnin ini.
Exco 1M4U, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, selain mengekalkan konsep Projek Palestin sebagai tema utama, SAM di Dataran Bunga Sena dan Dataran Keda turut diberi nafas baharu melalui tayangan klip video koleksi Salawat Burdah dari seluruh dunia antaranya Mesir, Yaman dan Turki selain Malaysia.
"Kami bawakan budaya selawat selepas solat maghrib dan solat hajat sebagai usaha meningkatkan rasa cinta anak-anak muda pada Rasulullah SAW," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Irmohizam berkata, selain berselawat, pengunjung juga berpeluang melawat 80 gerai perniagaan serta menyaksikan Showcase Palestin yang bakal dipersembahkan oleh penyanyi Daqmie dan kumpulan nasyid, Mestica.
Menurutnya, klip video Lahad Datu akan turut dipaparkan sebagai tanda menghargai wira-wira Lahad Datu, serta tayangan 10 petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertemakan perpaduan, keamanan dan semangat cintakan negara.
"Lebih istimewa, acara cabutan bertuah akan menyediakan hadiah berganda berbanding SAM sebelum ini kerana kami menyediakan dua buah motosikal EX5, 10 basikal fixie, 20 telefon bimbit serta lebih 50 hamper," katanya.
Menurut Irmohizam, sebanyak 300 helai baju 1M4U akan diedarkan secara percuma di tiap lokasi bagi membangkitkan gelombang cintakan budaya sukarelawan dalam kalangan anak muda.
"Acara kemuncak adalah persembahan penyanyi terkenal, Ramli Sarip yang bakal mengadakan persembahan kali pertama secara terbuka di Kedah setelah hampir 35 tahun bergelar penyanyi," katanya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail dijangka hadir menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah dalam majlis itu.
No comments:
Post a Comment