Tuesday, April 30, 2013

PRU13 DATO' SHAHLAN ISMAIL CUBAAN LAGAKAN CALON BN DI POKOK SENA GAGAL BERGANDING SEBAGAI SATU PASUKAN

Cubaan lagakan calon BN gagal

SHAHLAN Ismail (tengah) berkempen dengan penduduk Hutan Kampung dalam Majlis Ramah Mesra Calon Parlimen Pokok Sena di Pusat Daerah Mengundi Hutan Kampung, Kedah, semalam. 
 
POKOK SENA 28 April - Cubaan pakatan pembangkang untuk melaga-lagakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail dengan dua lagi calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada serta Bukit Pinang disifatkan sebagai satu tindakan terdesak bagi memburukkan imej calon parti itu.

Shahlan memberitahu, ada tohmahan yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang terhadapnya bahawa dia diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen di situ kerana keadaan tidak stabil wujud di UMNO Bahagian Pokok Sena. 

"Mereka (pakatan pembangkang) kata hadirnya Shahlan di Pokok Sena kerana keadaan di UMNO bahagian itu tidak stabil.

"Saya minta mereka cari modal lain, tak payah nak laga-lagakan saya dengan calon-calon BN di sini sebab kami dah kenal lama sangat sejak dari zaman sekolah lagi.

"Saya rasa mereka sudah bimbang kerana mereka dapat rasa rakyat dapat terima calon-calon BN di Pokok Sena dengan tawaran kedamaian dalam politik yang dibawa oleh kami," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan BN di Hutan Kampung di sini hari ini.

Calon BN bagi kerusi DUN Bukit Pinang, Muhd. Mukhtar Noor merupakan guru kepada Shahlan dan calon DUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Ahmad dan Shahlan pula mempunyai sejarah persahabatan yang lama iaitu mereka merupakan rakan sekelas sejak dari darjah tiga hingga ke tingkatan tiga.

Menurut Shahlan, tohmahan pakatan pembangkang ternyata gagal untuk mengugat hubungan baik yang terjalin antara Shahlan, Ahmad dan Muhd. Mukhtar, malah kesemua mereka lebih rapat serta berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memenangi hati pengundi.
"Kami lebih bersatu hati, malah calon kerusi DUN Derga, Dr. Cheah Soon Hai juga bersama-sama kami dalam berkempen kali ini.

"Kami tidak ada isu peribadi yang boleh buatkan pakatan pembangkang menyerang kami, jadi mereka cuba pula buruk-burukkan hubungan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Shahlan memberitahu, kempen yang menggunakan pendekatan berhemah telah berjaya menarik pengundi-pengundi di atas pagar di Parlimen Pokok Sena untuk mendekati BN.

"Saya nampak angin perubahan dan yakin kali ini BN akan menang di Parlimen Pokok Sena dan DUN Bukit Lada, Bukit Pinang serta Derga," ujarnya.

No comments: