Sunday, April 21, 2013

PENAMAAN CALON POKOK SENA : SAH DATUK SHAHLAN ISMAIL MENENTANG MAHFUZ OMAR


Parlimen Pokok Sena ‘panas’ 

Calon BN dan PR Parlimen Pokok Sena diperkenalkan ketika penamaan calon di Pejabat Daerah Pokok Sena, semalam.
 
POKOK SENA - Parlimen Pokok Sena (P008) menyaksikan pertembungan tradisi sekali lagi antara Pas dan Umno iaitu penyandangnya, Datuk Mahfuz Omar yang berhadapan calon Umno, Datuk Sahlan Ismail.

Pencalonan Parlimen dan Dun itu diadakan serentak di Pejabat Daerah Pokok Sena.

Parlimen Pokok Sena ini agak ‘panas’ kerana ia sering bertukar tangan antara Pas dan Umno setiap kali pilihan raya umum (PRU) dan sudah pasti calonnya terpaksa bekerja keras bagi meraih undi pengundi di kawasan itu.



SILA BACA ARTIKEL PENUH  


Mahfuz, yang juga calon ‘heavyweight’ Pas kini terpaksa berhadapan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama empat tahun yang merupakan anak jati Pokok Sena.

Suasana di Pejabat Daerah Pokok Sena agak tenang sejak awal pagi lagi hingga pencalonan diumumkan dengan dikawal pasukan polis.


Penyokong parti bertanding mula berarak jam 8.30 pagi ke pejabat daerah dengan membawa wakil masing-masing untuk penamaan calon.


Teka-teki calon Pakatan Rakyat (PR) di Dun Derga (N11) akhirnya terjawab apabila PR meletakkan calon DAP, Tan Kok Yew sebagai calonnya di Dun Derga itu.


Di Dun Derga itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu penyandang dari BN, Dr Cheah Soon Hai dan pendakwah bebas, Abdul Fisol Mohd Isa dari Berjasa.


Bagi Dun Bukit Lada (N09) pula sekali lagi berlaku pertembungan antara Pas dan Umno dengan Ahmad Izzat Mohamad Shauki dari Pas menjadi penyandang kerusi Dun itu  akan berhadapan dengan calon Umno, Datuk Ahmad Lebai Sudin.


Kerusi Dun ini juga dikatakan sering bertukar tangan antara kedua parti itu dan sudah pasti kedua-dua parti akan bekerja keras bagi menawan Dun Bukit Lada.


Di Dun Bukit Pinang (N10) pula menyaksikan penampilan sulung Wan Romaini Wan Salim dari Pas dan Mokhtar Md Noor dari Umno. Dun ini yang menjadi kubu kuat Pas memberi kelebihan kepada Wan Romaini bagi mengekalkan kerusi itu kepada Pas.


Semua penamaan calon itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pokok Sena, Bukhari Abdullah.

1 comment:

Anonymous said...

Macam langit dan bumi jika kita banding datuk shahlan dgn mahfuz... kali ni aku undi umno di pokok sena... hang pa pikiaq la masak2...