Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemuncak bantahan golongan itu ialah apabila ada yang mengeluarkan resolusi mendakwa mengundi Pas adalah haram.
Katanya, kegagalan Pas menunaikan janji termasuk melaksanakan hukum hudud dan membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam menjadi punca parti itu semakin diketepikan golongan tersebut.
"Banyak ulama sudah meninggalkan Pas dan ada yang mendakwa mengundi Pas adalah haram. Hal ini kerana mereka sudah sedar bahawa perjuangan Pas bukan lagi untuk Islam.
"Pas hanya nak jaga hati sekutunya sahaja sehingga setuju gugur negara Islam kerana DAP tidak setuju. Malah, ada pemimpin Pas membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam sehingga Majlis Syura Ulama Pas menarik balik persetujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Bilik Gerakan Parlimen Pokok Sena di Hutan Kampung dekat sini malam tadi yang dihadiri lebih 10,000 orang.
Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin, Pengerusi Gerakan negeri, Dr. Cheah Soon Hai dan Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang.
Sementara itu kata Dr. Mahathir, rakyat negara ini harus membuat penilaian sewajarnya tentang agenda parti pembangkang termasuk DAP dan PKR yang bersekutu hanya untuk menjadi pemerintah negara ini dan bukannya membela rakyat.
"Kononnya nak tukar kerajaan tetapi Barisan Nasional (BN) sudah memerintah lebih 55 tahun dan kita lihat peningkatan yang luar biasa, jadi kenapa harus tukar kerajaan? Tidak akan ada kerajaan yang terbaik sebagai pemerintah selain BN," katanya.
Khusus kepada rakyat Kedah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei ini, beliau turut meninggalkan pesanan agar membuat pilihan terbaik dengan mengembalikan negeri ini ke pangkuan BN demi kelangsungan kemajuan dan kemakmuran rakyatnya.
"Lihat apa yang jadi setelah Pas mengambil alih? Di mana kemajuan yang dijanjikan? Kita tidak nampak pun, yang nampak mereka cuma ghairah potong pokok balak," katanya.
No comments:
Post a Comment