Datuk Mahfuz Omar lakukan lagi. Naib Presiden Pas ini tidak
sudah-sudah dengan spekulasi dan teori lapuk mengaitkan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya tidak sehaluan dengan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin sudah begitu cara berfikir orang-orang penting dalam Pas ini.
Bagi mereka, orang nombor dua akan sentiasa dikaitkan dengan konspirasi
dan agenda untuk menjatuhkan ketuanya.
Pantang ada kenyataan yang ditakrifkan sendiri sebagai mendahului dan
berbeza, terbitlah daripada pemikiran mereka wujud gerakan licik di
sebaliknya. Sungguh, ia cara politik lama yang patut ditinggalkan.
Tidak terfikir oleh orang lain kecuali mungkin hanya Mahfuz dan akhbar Harakah
bahawa Muhyiddin yang kini ditugaskan untuk menangani krisis air
Selangor, menggunakan isu itu untuk 'menamatkan kerjaya politik Najib'.
Mahfuz oleh akhbar itu dipetik sebagai berkata: "Terlalu banyak
perkhabaran dan tuduhan yang kita dengar bahawa Muhyiddin mengambil
peluang dan kesempatan daripada krisis air di Selangor yang direka-reka
oleh UMNO dan BN (Barisan Nasional) itu untuk menamatkan kerjaya politik
Najib."
Begitu sekali masif dan terancang gerakan politik parti pembangkang
ini bagi menyokong pendirian Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Selangor untuk mengambilalih industri bekalan air di Lembah Klang ini.
Sedang para pemimpin parti pembangkang berlumba-lumba cuba
menampilkan fakta walaupun saling bercanggah sehingga menimbulkan
kekeliruan rakyat, Mahfuz pula memilih bermain dengan spekulasi dan
politik adu domba.
Mungkin beliau mahu dilihat dalam kalangan rakan-rakan sekutunya
sebagai politikus super hebat berpancaindera enam yang mempunyai
penglihatan luar biasa.
Sebelum ini pun Mahfuz muncul dengan kenyataan spekulatif bahawa
Muhyiddin bakal menjadi Perdana Menteri setelah Najib didesak meletakkan
jawatan akibat gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya
umum ke-13 ini.
Harakah
Kenyataan Mahfuz yang dibesar-besarkan oleh Harakah itu cuba
menggambarkan Muhyiddin tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri.
Ia hanya kerana Muhyiddin menyatakan bahawa pilihan raya sesuai diadakan
pada tahun ini.
Mengikut bacaan Ahli Parlimen Pokok Sena ini, Muhyiddin akan
melakukan hal sama seperti yang UMNO lakukan terhadap Abdullah dahulu.
Perkataan yang digunakan oleh Harakah ialah 'menghalau Pak Lah'.
Permainan politik adu domba daripada pemimpin seteru memang boleh
difahami tetapi ia tidak sepatutnya datang daripada pemimpin yang telah
dinobatkan menduduki kerusi nombor tiga parti 'Islam' ini.
Memang sudah lama kita tidak mendengar pemimpin Pas mempelopori atau
mengetengahkan isu sendiri yang dekat di hati rakyat. Pas sudah
ketandusan idea bernas. Parti ini defisit nilai-nilai intelektual.
Mengapa? Mungkin kerana kegemaran mereka untuk sekadar menjadi pak
turut dan pak sokong pendirian dan idea pemimpin sekutu daripada PKR
atau DAP sahaja.
Mereka kini dilihat tidak lebih sebagai pemenuh ruang dan meramaikan majlis. Jika mahu majlis gah, panggillah Pas ikut serta.
Mungkin sebab itu, ramai menyatakan Pas tidak mungkin boleh menjadi
parti dominan dalam pakatan pembangkang. Ahli saja ramai tetapi dari
segi jumlah kerusi Parlimen, Pas kalah.
Apatah lagi jika dibandingkan dengan kepakaran mencadangkan strategi
dan pelan terbaik untuk kebaikan rakyat, sumbangan Pas tidak ketara.
Yang banyak dilakukan oleh mereka ialah mengharu-birukan dasar dan
pendekatan kerajaan yang baik. Semacam penyakit berjangkit, apa jua
pendekatan kerajaan mahu diracuni agar ditolak oleh rakyat.
Gerakan politik mereka lebih kepada memerangi kerajaan bukan berusaha
menambah baik apa yang ditawarkan. Mereka seolah-olah tidak mahu
berkongsi dengan kemakmuran yang dikecapi kini.
Aneh, dalam keadaan mengecapi nikmat kemakmuran itu, mereka mengecamnya dari segenap sudut. Seperti tiada sudut yang baik.
Dan dalam keadaan Perdana Menteri dan timbalannya seia dan sekata sebagai satu pasukan mereka membuat tohmahan lain pula.
Dilihat dari segi cara berpolitik politikus sekarang, tiada
tanda-tanda politik adu domba dan tohmahan akan menemui noktahnya.
Politikus lapuk seperti Mahfuz yang tidak mampu mengandalkan kewibawaan
sendiri masih ramai.
Mereka akan terus bergayut kepada isu-isu spekulatif disulami fitnah
dan tohmahan. Mendengarnya memang seronok tetapi jika termakan hasutan
ini sehingga menjadi darah daging, implikasinya buruk.
No comments:
Post a Comment