Tuesday, April 23, 2013

PRU13 Dato' Shahlan Ismail - BN bertekad bangunkan Pokok Sena demi rakyat

.
SHAHLAN Ismail (dua dari kanan) dan Mukhtar Md. Noor (kanan) beramah mesra dengan para peniaga Pasar Tani Langgar di Pokok Sena, Kedah, semalam. 
POKOK SENA 22 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail berazam untuk membangunkan infrastruktur di kawasan itu termasuk menaik taraf pasar Pokok Sena demi keselesaan semua pihak jika diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat di situ.

Beliau berkata, kawasan Pokok Sena berpotensi dimajukan dan antara janji yang ditawarkannya kepada pengundi di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah untuk membangunkan kawasan tersebut.

"Kita mempunyai iltizam untuk membangunkan infrastruktur di Pokok Sena, sebab itu kita minta mandat daripada rakyat. Seharusnya penduduk di sini menikmati infrastruktur yang berkualiti seperti di pasar serta kebersihan persekitaran lebih baik.

SILA BACA ARTIKEL PENUH


"'Insya-Allah wawasan ini dapat ditepati oleh kerajaan yang stabil seperti BN," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar pagi di Pekan Langgar di sini hari ini.

Beliau bergandingan dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, Muhd. Mukhtar Noor yang juga gurunya meluangkan masa lebih sejam beramah mesra dengan peniaga serta pelanggan di pasar berkenaan sebagai rutin kempen pilihan raya selepas penamaan calon kelmarin.

Shahlan berkata, antara perkara yang akan beliau beri perhatian jika dipilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu ialah meningkatkan keselesaan pasar Pokok Sena yang berusia lebih 50 tahun.
Katanya, kerja-kerja tersebut akan dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan penjaja di kaki lima kerana prinsip BN ialah menggalakkan masyarakat berniaga.

"Kalau kita tidak bela nasib peniaga siapa lagi hendak diharapkan. Kita memahami denyut nadi rakyat dan saya akan berhubung dengan pihak-pihak bertanggungjawab untuk membincangkan perkara ini.

"Kita akan kembalikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan menyediakan kemudahan yang selesa kepada mereka bersesuaian dengan wawasan Pokok Sena Maju sekiranya pengundi sudi memberi mandat," katanya.

Sementara itu, Muhd. Mukhtar berkata, walaupun Pokok Sena terletak bersebelahan dengan Alor Setar yang semakin maju namun kawasan itu masih ketinggalan khususnya dari segi pembangunan.
"Kalau beri kepercayaan kepada kami, Insya-Allah Pokok Sena akan menempoh era baru dalam pembangunan," katanya.

No comments: